Mewujudkan Budaya Kerja Baru Di PPKS/ICATS.
Kuching – Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dan Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak menganjurkan seminar yang bertajuk Budaya Korporat Ke Arah Pengurusan Yang Cemerlang. Seminar yang berlangsung di Hotel The Regency Sarawak selama dua hari, bermula 16 – 17 Jun 2010 turut menjemput penceramah dari luar iaitu Prof. Dr. Mornie Kambrie.
Menurut Ketua Pegawai Operasi ICATS, Dr. Mohd Trudin B. Haji Yasin, penganjuran seminar ini adalah untuk memastikan pihak pengurusan atasan dan pertengahan mempelajari dan berkongsi budaya korporat yang bagus seperti yang dipraktik di organisasi-organisasi yang berjaya bagi membentuk budaya kerja yang baik dan cemerlang. Beliau berharap agar semua pekerja dari peringkat atasan sehingga pihak bawahan dapat mengaplikasikan budaya kerja yang betul bagi membentuk satu institusi yang cemerlang. Sebagai contoh, beliau tertarik dengan budaya pekerja Jepun yang mempunyai disiplin yang tinggi, proaktif, berinovasi, kreatif dan menepati masa.
Adalah menjadi harapan beliau bahawa selepas seminar ini para pekerja mempelajari dan mengunapakai budaya kerja yang baik dalam menjalankan tugasan yang telah diamanahkan. Beliau juga berharap dengan penganjuran seminar tersebut, PPKS akan menjadi sebuah pusat latihan kemahiran yang cemerlang dan ICATS akan menjadi sebuah IPTS pilihan di rantau ini.
Seminar ini turut menjemput para pekerja PPKS/ICATS untuk berkongsi pengalaman serta pandangan mereka terhadap tugasan yang telah diamanahkan.






